Jadual Bergambar

Jadual Bergambar

oleh PM Dr. Lee Lay Wah

 

Jadual bergambar terdiri daripada suatu siri gambar yang berfungsi sebagai bimbingan untuk mengajar murid bermasalah pembelajaran

(i) mengikuti jadual urutan aktiviti. Contohnya jadual waktu harian di sekolah.

(ii) menolong mereka mengorganisasi jadual harian mereka.

Contohnya mengorganisasi rutin pada waktu pagi supaya bersedia untuk pergi ke sekolah seperti aktiviti kemaskan katil, diikuti dengan aktiviti memberus giri, mandi, memakai baju, bersarapan pagi, menunggu bas sekolah.

(iii) melaksanakan sesuatu tugasan dengan lengkap. Contohnya tugasan mencuci tangan dengan sabun di sinki.

Untuk menyediakan jadaul bergambar, guru perlu menjalankan analisis tugasan bagi mengenalpasti urutan langkah-langkah untuk sesuatu aktiviti dan seterusnya memilih gambar yang paling sesuai ataupun paling berkait rapat dengan urutan langkah yang telah dikenalpasti. Biasanya gambar yang jelas dan ringkas adalah lebih berkesan.

Kaedah pengajaran  yang digunakan bersama dengan Jadual Aktiviti Bergambar adalah kaedah “Bimbingan dengan Pudaran”. Dalam kaedah bimbingan dengan pudaran, murid dibimbing sepenuhnya untuk melaksanakan aktiviti berpandukan kepada jadual bergambar. Seterusnya, bimbingan yang diberikan itu dikurangkan/dipudarkan secara beransur-ansur sehingga murid tersebut boleh melaksanakan aktiviti sasaran secara berdikari.

 Berikut adalah satu contoh  Jadual Bergambar untuk mengajar tugasan mencuci tangan dengan sabun di sinki:

(Gambar sebenar yang besar dan jelas boleh dimuat turun dari Galeri Gambar ePKhas - Analisis Aktiviti)

 jalan ke sinki

Hasil kajian telah menunjukkan bahawa penggunaan jadual aktiviti bergambar telah dapat meningkatkan penglibatan murid serta tumpuan murid terhadap sesuatu tugasan. Di samping itu, terdapat juga kajian yang menunjukkan bahawa penggunaan jadual aktiviti bergambar dapat meningkatkan tingkah laku yang diingini.   

Dibaca 4989 kali