Kenali ePKhas

ePKhas: Bahan e-Pembelajaran  untuk Pendidikan Khas

 

Oleh

Prof. Madya Dr Lee Lay Wah

 

 

 ePKhas  dimulakan pada tahun 2008 dengan penggunaan Geran Penyelidikan USM  bertajuk "Design, development and evaluation of an online multimedia objects-repository for special education". ePKhas boleh dicapai di http://epkhas.ses.usm.my. Projek ini diketuai oleh Prof Madya Dr. Lee Lay Wah, Pusat Pengajian Ilmu Pendidikan, Universiti Sains Malaysia.

 

Bahan e-pembelajaran dalam ePKhas merangkumi rancangan mengajar, objek pembelajaran multimedia, artikel ringkas, galeri gambar, bahan cetakan Flash, buku bercerita multimedia serta video pembelajaran.  ePKhas merupakan laman e-pembelajaran untuk beberapa kursus di dalam program Pendidikan Khas. Hasil kerja Prof. Madya Dr. Lee Lay Wah dengan pelajar-pelajarnya daripada kursus-kursus tersebut disimpan di dalam repositori bertujuan untuk dikongsi bersama dengan para pendidik yang lain.  

Pensyarah, guru pendidikan khas serta semua warga yang terlibat dengan perkhidmatan pendidikan khas di Malaysia digalakkan untuk mendaftar sebagai ahli ePKhas. Individu yang mendaftar sebagai ahli boleh mengakses sumber tersebut secara percuma dan menggunakan sumber tersebut, tertakluk kepada syarat-syarat penggunaan yang ditetapkan. Sebagai ahli, guru boleh mencari sumber multimedia, pratonton sumber tersebut, muat turun sumber yang dikehendaki serta mengubahsuaikannya supaya bersesuaian dengan tahap keupayaan murid mereka. Di samping menggunakan sumber ePKhas, ahli ePKhas juga digalakkan untuk menjadi penyumbang ilmu. Satu templat Rancangan Pengajaran Harian© juga telah dibina dalam ePKhas untuk membimbing guru menghasilkan rancangan mengajar mereka tersendiri.

 

Model Pengajaran ePKhas-Lee © telah direkacipta oleh Dr. Lee Lay Wah  bertujuan untuk  membimbing pembinaan sumber pembelajaran digital dalam ePKhas. Model Pengajaran ePKhas-Lee menggabungkan teori-teori psikologi pembelajaran murid berkeperluan khas, teori-teori pembelajaran behavioristik serta teori-teori pembelajaran multimedia untuk mengajar murid berkeperluan khas. Templat Rancangan Pengajaran Harian© merupakan salah satu elemen dalam Model Pengajaran ePKhas-Lee.

 

Ahli-ahli digalakkan untuk melayari ePKhas dari semasa ke semasa untuk mendapatkan sumber baru yang senantiasa dimuatkan secara berterusan.

 

Selamat melayari ePKhas!.