Memodel dengan Video (Video Modeling)

Kaedah Pengajaran Memodel dengan Video (Video Modeling)

 oleh

PM Dr Lee Lay Wah

Strategi pengajaran ePKhas-Lee  terdiri daripada TIGA langkah iaitu: ModelBimbingCuba © . Pada kebiasaannya, model dalam strategi pengajaran ini adalah guru kelas itu sendiri. Artikel ini mensyorkan satu lagi kaedah untuk memodel, iaitu kaedah  memodel dengan video (Video Modeling).

Kaedah memodel dengan video merupakan kaedah pengajaran yang memerlukan seseorang murid belajar dengan melihat model di dalam video mendemonstrasikan sesuatu  kemahiran sasaran. Selepas melihat video yang mendemonstrasikan kemahiran sasaran, murid tersebut diberikan situasi yang hampir sama untuk meniru (imitate) kemahiran sasaran tersebut , biasanya dengan bimbingan. Sebagai contoh, video boleh ditunjukkan pada permulaan kelas, dan seterusnya murid dikehendaki untuk meniru aksi di video dalam langkah pengajaran  yang seterusnya. Video juga boleh ditunjukkan pada permulaan hari dan murid dikehendaki untuk menunjukkan aksi di video di akhir hari tersebut. Video juga boleh ditayangkan kepada murid sebelum mereka tidur dan  murid diperlukan untuk melaksanakan kemahiran sasaran tersebut pada keesokan hari selepas bangun dari tidur.

Setakat ini, kaedah memodel dengan video telah digunakan untuk mengajar pelbagai jenis kemahiran seperti kemahiran hidup berdikari, kemahiran sosial dan komunikasi, kemahiran tingkah laku serta kemahiran akademik. Hasil kajian telah menunjukkan bahawa kaedah ini sangat berkesan untuk murid yang mempunyai gaya pembelajaran visual seperti murid autisme.

Model yang digunakan di dalam video mungkin orang dewasa, rakan sebaya ataupun murid itu sendiri. Sekiranya model di dalam video adalah murid itu sendiri, ini bermaksud banyak kali penggambaran mungkin perlu dibuat dan video-video tersebut perlu disunting sehinggakan hasil terakhir ialah video murid menunjukkan tingkah laku dengan berjaya. Bahagian di mana guru mengajar dan memberi bimbingan perlu disunting keluar dari video. Ini mengambil masa, oleh sebab itu, biasanya model yang digunakan adalah orang dewasa ataupun rakan sebaya.   Walau bagaimanpun, adalah lebih baik sekiranya video tersebut ditangkap dari perpektif murid sedang belajar, iaitu dengan menunjukkan hanya tangan model tersebut melaksanakan sesuatu tugasan.

 Kaedah memodel dengan video ini  juga telah digunakan untuk meningkatkan kemahiran generalisasi dengan menunjukkan kemahiran tersebut di dalam persekitaran yang berlainan.

 Projek ePKhas semester ini menerapkan kaedah memodel dengan video ke dalam pengajaran. Diharap bahawa contoh-contoh memodel dengan video yang sesuai dengan konteks tempatan dapat dimuat naik ke ePKhas di akhir semester ini untuk kegunaan guru-guru.

 

Rujukan: PDA Center. Research Brief #2 Video Modeling. http://www.idahocdhd.org/DNN/LinkClick.aspx?fileticket=xoIPF7VgfEg%3D&tabid=279&mid=791

Dibaca 2682 kali