Menulis Objektif Pengajaran

Oleh Dr. Lee Lay Wah

Objektif pengajaran menerangkan hasil pengajaran yang diingini serta kriteria penilaian hasil pengajaran tersebut.  Objektif pengajaran ditulis berasaskan tingkah laku yang boleh dilihat sebab tingkah laku yang boleh dilihat sahaja yang boleh dinilai atau diukur. Penulisan objektif pengajaran biasanya merujuk kepada hasil analisis tugasan ataupun analisis isi kandungan sesuatu topik yang hendak diajar.   

Objektif pengajaran terdiri daripada empat komponen iaitu:

  1. Isi kandungan yang hendak diajarkan.
  2. Tingkah laku yang menunjukkan bahawa pembelajaran telah berlaku.
  3. Keadaan atau situasi di mana murid akan melaksanakan tingkah laku tersebut.
  4. Kriteria yang ditetapkan untuk membuat keputusan bahawa objektif telah dicapai.

Contoh objektif pengajaran:

  • Diberi satu gambar dengan lima abjad tersembunyi,  murid dapat membulatkan abjad yang disebut oleh guru dengan betul setiap kali ditanya.
  • Apabila ditunjuk  sesuatu abjad, murid dapat menyebut nama abjad tersebut dengan 90 peratus ketepatan.
  • Apabila ditunjuk sesuatu abjad, murid dapat membunyikan abjad tersebut tanpa sebarang kesilapan.

Taksonomi Bloom domain kognitif boiasanya digunakan untuk membimbing penulisan objektif pengajaran. Taksonomi ini menghuraikan hirarki kemahiran intelek. Beberapa contoh tingkah laku yang menunjukkan tahap kemahiran intelek tertentu dalam Taksonomi Bloom ditunjuk di bawah:

  • Pengetahuan: melabel, menama, memadan, mengulang
  • Kefahaman : menyatakan, memberi contoh,  menerangkan, merumus
  • Aplikasi : mengguna, menyelesai, mendemonstrasi, membina
  • Analisis : membanding, mengasing, membeza, menyenarai
  • Síntesis: menghasil, merekabentuk, menggabung, membangun
  • Penilaian : memilih, meramal, menginterpretasi, menilai
    Akhir kata, pastikan objektif pengajaran anda mewakili pembelajaran yang berguna untuk murid berkeperluan khas dan ada kaitan dengan generalisasi, sukatan pelajaran ataupun tujuan IEP (individualised education program).
Dibaca 6742 kali