Strategi Pengajaran ePKhas-Lee (Model+Bimbing+Cuba)

oleh: Lee Lay Wah

STRATEGI PENGAJARAN ePKhas-Lee: MODEL+ BIMBING + CUBA ©

Strategi pengajaran murid berkeperluan khas yang diamalkan oleh ePKhas adalah strategi yang dipanggil sebagai strategi ModelBimbingCuba (Hakmilik © 2007 ePKhas).

Strategi pengajaran ModelBimbingCuba terdiri daripada TIGA langkah, iaitu:

a. Guru Memodel
b. Guru Membimbing Murid
c. Murid Mencuba Secara Berdikari

MODEL

Strategi Model memerlukan guru pendidikan khas untuk menunjuk atau memodel sesuatu kemahiran/konsep yang hendak dipelajari kepada murid secara jelas dan nyata. 

Model yang biasa: guru

Model lain yang mungkin: murid lain, video-modeling, simulasi komputer.

Selepas guru memodel, guru boleh meminta murid lain untuk memodel beberapa kali lagi. Ini meneguhkan lagi konsep untuk murid yang masih belum tangkap. Ulangan memodel menolong murid yang jadi pemodel dan juga menolong muird lain yang sedang melihat. Selain daripada manusia, model mungkin adalah dalam bentuk penggunaan video ataupun simulasi komputer.

BIMBING

Strategi Bimbing, memerlukan guru memberi sokongan atau bantuan kepada murid berkeperluan khas semasa murid mencuba melaksanakan tugasan yang hendak dipelajari.

Langkah ini biasanya memerlukan guru membuat tugasan bersama murid dan selepas murid lebih arif untuk melaksanakan tugasan dengan lebih berdikari, guru akan pudarkan bimbingan tersebut secara beransur-ansur. (Bimbing -> pudar).

Untuk murid aliran perdana, tahap ini mungkin cepat dan ringkas, tetapi untuk murid khas, tahap BIMBING ini adalah tahap yang amat penting untuk membolehkan murid dapat menguasai kemahiran yang sedang diajarkan. Bimbingan yang paling maksima adalah guru buat bersama murid secara 'tangan atas tangan'. Bimbingan boleh dipudarkan sehingga hanya klu verbal atau tanda isyarat (gestures) sahaja diberikan oleh guru.

CUBA
Strategi yang terakhir adalah strategi CubaStrategi ini menggalakkan murid untuk mencuba melaksanakan tugasan tersebut secara berdikari. Langkah Cuba ini digunakan juga sebagai langkah pengujian untuk mengetahui tahap penguasaan murid.

Strategi  ModelBimbingCuba diterapkan dalam Rancangan Pengajaran Harian ePKhas (RPH ePKhas (c) 2007). Langkah Mempersembahkan Maklumat Baru  untuk guru merancang strategi memodel tugasan atau isi pelajaran yang hendak disampaikan kepada murid berkeperluan khas. Langkah Latihan Dengan Bimbingan  untuk guru menerangkan strategi yang akan digunakan untuk membimbing atau menyokong murid semasa murid melaksanakan tugasan. Langkah Latihan Kendiri untuk guru menerangkan latihan yang disediakan untuk murid melaksanakan tugasan secara berdikari.

Contoh penggunaan strategi Model+Bimbing+Cuba boleh didapati daripada contoh RPH.

 

 

Dibaca 4104 kali