Diterbitkan Kemahiran Membaca Jam (Bahagian II).

Bidang:
Jenis Ketidakupayaan:
Peringkat Pendidikan:
Domain:
Penulis: 
Lee Bee Hiang & Melisa Chua

Perancangan Sebelum Pengajaran

Sukatan Pelajaran: 
9.1 Menamakan waktu dalam sehari. 9.1.1 Konsep waktu dalam satu hari. 9.1.2 Aktiviti harian mengikut waktu.
Deskripsi Pelajaran Hari Ini: 
Membaca jam dalam sistem 12 jam, dan menulis masa dalam sistem 12 jam.
Objektif: 
Pada akhir pengajaran ini, murid dapat: 1. Membaca jam dalam sistem 12 jam dengan betul setiap kali apabila ditunjukkan jam model yang berlabel bacaan bagi jam dan minit. 2. Membezakan antara jam dan minit iaitu jam merupakan unit yang lebih besar berbanding dengan minit. 3. Menulis masa dalam sistem 12 jam dengan betul bagi kesemua soalan yang diberikan dalam lembaran kerja.
Kemahiran Sedia Ada: 
Murid sudah boleh membaca jam pada waktu yang tepat sahaja dan menuliskan waktu dalam bentuk nombor (contoh: 8 pagi ditulis sebagai 8.00 pagi).
Analisis Tugasan/Konsep Pembelajaran: 
1. Menyebut masa (jam) dalam sistem 12 jam. 2. Menulis masa (jam) dalam sistem 12 jam. 3. Jarum panjang mempunyai 60 nombor. 4. Jarum minit lebih kerap bergerak berbanding dengan jarum jam kerana jam terdiri daripada minit-minit. 5. Menyebut masa (jam dan minit) dalam sistem 12 jam. 6. Menulis masa (jam dan minit) dalam sistem 12 jam.
Bahan Bantu Mengajar: 
Jam dinding sebenar, kertas pinggan, pen berwarna dan model jam.

Permulaan Pengajaran

Set Induksi
Deskripsi: 

1. Guru memperkenalkan permainan “Sang harimau pukul berapa.”

2. Guru memodelkan cara permainan tersebut dengan meminta beberapa orang murid untuk ke depan sebagai contoh.

3.Kemudian, semua murid terlibat dalam permainan tersebut, manakala guru sebagai pemerhati.

[Nota: Permainan “Sang Harimau” ini boleh dimodifikasikan agar sesuai dengan objektif pengajaran dengan meminta murid yang tertangkap semasa bergerak apabila sang harimau pusing ke belakang untuk menunjukkan masa pada jam model. Sekiranya murid menunjukkan dengan betul, murid tersebut selamat tetapi jika salah, maka dia akan terpilih untuk menggantikan sang harimau pula.]

Membantu Murid Mengingat Kembali Kemahiran Sedia Ada
1. Guru memberikan jam kertas pinggan yang telah dibuat oleh mereka sendiri pada minggu yang lepas bersertakan kad simbol. 2. Guru menulis “9.00 pagi” di papan hitam dan meminta murid-murid untuk menunjukkan masa tersebut pada model jam dan juga menggunakan kad simbol bagi pagi. Guru menyuruh murid untuk menyebutnya. 3. Langkah 2 hingga langkah 3 diulangi bagi 1.00 petang dan 7 malam.
Memperkenalkan Pelajaran Hari Ini Kepada Murid
1. Seterusnya, guru menunjukkan jam dinding sebenar kepada murid. 2. Guru meminta murid-murid untuk menerangkan ciri-ciri yang terdapat pada jam tersebut iaitu fungsi jarum panjang dan pendek serta nombor-nombor yang terdapat pada muka jam adalah merujuk kepada masa dalam jam. 3. Guru menjelaskan bahawa pada hari ini murid akan mempelajari cara untuk membaca jam dan minit.

Penyampaian Isi Pelajaran

Mempersembahkan Maklumat Baru Kepada Murid
1. Guru memberikan satu jam kertas pinggan yang telah dibuat oleh murid dan memberitahu mereka bahawa titik-titik merah antara nombor-nombor pada muka jam menandakan minit. 2. Guru meminta murid-murid untuk mengira bilangan titik merah dari nombor 12 hingga nombor 1 dan seterusnya sehinggalah 11 hingga 12. Guru menanyakan murid tentang persamaan antara selang-selang nombor tersebut. Murid akan memberitahu guru bahawa terdapat selang 5 minit antara dua nombor. Oleh itu, minit pada jam adalah hasil darab 5 dengan nombor pada muka jam tersebut, misalnya 5 × 6 = 30 minit. 3.Guru menyuruh murid untuk menulis nombor 5 di sebelah atas nombor 1 dengan menggunakan pen merah dan diikuti nombor 10 di atas nombor 2 dan seterusnya.
Langkah Kedua
1. Guru meminta seorang murid untuk menunjukkan jarum jam ke pukul 8 dahulu. Kemudian memodelkan kedudukan jarum pada jam 8.05 iaitu jarum pendek (hitam) hendak menuju ke nombor 8 (hitam) manakala jarum panjang (merah) hendaklah menuju ke nombor 5 (merah). 2. Guru menyebut “pukul 8, 5 minit pagi” dan menuliskan perkataan “8.05 pagi” di atas papan hitam. 3. Murid ulangi langkah 1 dan 2 serta cara sebutannya. 4. Murid dikehendaki menulis perkataan “8.05 pagi” dan cara sebutannya di atas buku latihan. 5. Langkah 1 hingga langkah 3 diulang bagi selang 5 minit seterusnya sehinggalah pukul 9. Bagi memastikan murid telah faham bahawa kitaran tersebut akan berulang-ulang, guru menunjukkan lagi pukul 9.05 dan seterusnya sehinggalah pasti bahawa murid-murid sudah faham. Tetapi, simbol waktu yang digunakan adalah berlainan iaitu matahari untuk waktu siang dan bulan untuk waktu gelap.
Langkah Ketiga
1. Seterusnya, guru menuliskan 8.47 pagi pada papan hitam dan meminta murid meneka kedudukan jarum pada jam tersebut. Guru akan meminta seorang murid untuk mendemonstrasikannya di papan hitam sambil membimbing murid tersebut. 2. Sekiranya murid-murid tidak dapat meneka dengan betul, guru akan meminta pelajar untuk mengenalpastikan nombor pada muka jam tersebut yang paling dekat dengan minit 47, iaitu minit 45 pada nombor 9. Kemudian, guru akan meminta murid-murid untuk mengira bersama-sama dari 45 hingga 47 iaitu hanya tambahkan dua titik merah sahaja. 3. Guru memberikan soalan lain kepada murid-murid dan meminta mereka untuk mendemonstrasikan jawapan mereka pada model jam mereka sendiri. Guru akan memeriksa setiap hasil kerja murid-murid dan membetulkannya sekiranya perlu. 4.Guru akan memberikan soalan yang pelbagai kepada murid-murid seperti 5.18 petang, 6.56 malam, 7.34 pagi, dan sebagainya. 5. Murid-murid diminta untuk menuliskan masa tersebut serta cara sebutannya dalam buku latihan masing-masing. [Nota: Apabila murid-murid telah dapat memahami pengajaran ini, guru perlulah menunjukkan bahawa dalam jam yang sebenarnya, jarum jam tidak akan sentiasa menunjuk tepat pada nombor jam. Oleh itu, bagi pukul 8.50, jarum jam tidak akan menunjuk tepat pada 8 sebaliknya akan lebih mendekati nombor 9. Pada masa yang sama, adalah baik jika guru juga memberitahu murid bahawa perkataan “pagi” juga boleh digantikan dengan a.m. manakala “malam” dan “petang” boleh digantikan dengan p.m. Bagi memudahkan murid-murid mengingat yang mana satu datang dahulu, guru boleh mengaitkannya dengan urutan abjad iaitu “a” datang sebelum “p”.]

Penilaian

Latihan dengan Bimbingan
Guru memberikan bimbingan kepada murid untuk mengerakkan jarum jam dan cara sebutannya semasa proses pembelajaran dan pengajaran sekiranya mereka tidak dapat melakukannya dengan sendiri.
Latihan Kendiri
Guru memberikan lembaran kerja 4, 5, dan 6 kepada murid. Lembaran tersebut diedarkan secara berperingkat-peringkat iaitu dari mudah ke susah.

Penutup Pengajaran

1. Bagi mengukuhkan lagi ingatan murid, guru menyuruh setiap murid untuk mengambil satu kad soalan daripada kotak ajaib. 2. Kemudian, setiap murid dikehendaki untuk memusingkan jarum pendek dan panjang pada jam model di papan hitam berdasarkan soalan yang terdapat di kad soalan. Selain itu, murid juga perlu menampalkan simbol waktu matahari atau bulan.

Aktiviti Lanjutan

Generalisasi/Aplikasi Kepada Kehidupan Seharian/Pelajaran Lanjutan
1. Murid boleh menyebut masa dengan sendiri sekiranya mereka memakai jarum tangan biasa. 2. Murid juga boleh memberitahu masa kepada orang lain sekiranya orang lain bertanya kepadanya waktu pada ketika itu. 3. Murid juga boleh merancang sendiri jadual waktu dengan menulis masa yang tertentu untuk aktiviti yang tertentu. 4. Murid dapat mengetahui tempoh masa yang telah digunakan untuk melakukan sesuatu aktiviti.
Penilaian pentadbir:
0
Dibaca 4287 kali