Diterbitkan Membaca suku kata kv+kv.

Jenis Ketidakupayaan:
Peringkat Pendidikan:
Domain:
Penulis: 
Lee Bee Hiang & Melisa.

Perancangan Sebelum Pengajaran

Sukatan Pelajaran: 
4.0 Membaca. 4.1 Membina dan membaca suku kata KV+KV.
Deskripsi Pelajaran Hari Ini: 
Mengeja suku kata KV, menyesuaikan suku kata KV+KV dengan gambar dan membaca suku kata KV+KV.
Objektif: 
A)Kumpulan Cergas Pada akhir pengajaran ini, murid dapat: 1.Membunyikan semua suku kata KV dengan betul apabila ditunjukkan suku kata KV. 2. Memadankan semua suku kata dengan betul untuk membentuk perkataan apabila ditunjukkan gambar. 3. Membaca semua perkataan KV+KV yang telah dipelajari dengan ketepatan 80% tanpa bantuan gambarajah. B)Kumpulan Sederhana Pada akhir pengajaran ini, murid dapat: 1. Membunyikan enam daripada sepuluh suku kata KV dengan betul apabila ditunjukkan suku kata KV. 2. Memadankan tiga daripada empat suku kata dengan betul untuk membentuk perkataan apabila ditunjukkan gambar. 3. Membaca tiga daripada empat perkataan KV+KV yang telah dipelajari dengan ketepatan 80% dengan bantuan gambarajah. C)Kumpulan Lemah Pada akhir pengajaran ini, murid dapat: 1. Membunyikan empat daripada sepuluh suku kata dengan betul apabila ditunjukkan suku kata KV. 2. Memilih perkataan yang mengandungi gabungan suku kata yang betul apabila ditunjukkan gambarajah dan murid perlulah menjawab sekurang-kurangnya dua daripada empat soalan dengan betul. 3. Membaca dua daripada empat perkataan yang telah dipelajari dengan ketepatan 80% dengan bantuan gambarajah.
Kemahiran Sedia Ada: 
Murid sudah mengenali huruf a-z, cara menyebutnya serta cara membunyikan huruf-huruf vokal.
Analisis Tugasan/Konsep Pembelajaran: 
1. Mengenal huruf k, r, a, e, i, o dan u. 2. Membunyikan huruf k, r, a, e, i, o dan u. 3. Menggabungkan bunyi huruf untuk membentuk suku kata KV seperti ka, ke, ki, ko, ku, ra, re, ri, ro dan ru. 4. Menggabungkan suku kata (KV+KV) untuk membentuk perkataan.
Bahan Bantu Mengajar: 
Video, carta suku kata, slaid PowerPoint, kotak ajaib, kad huruf, pin boling mainan atau botol air mineral yang dilekatkan kad suku kata KV yang dipelajari, bola tenis dan lembaran kerja.

Permulaan Pengajaran

Set Induksi
Deskripsi: 

1. Guru menunjukkan sebuah kotak ajaib kepada murid-murid.

2. Kemudian, guru menyuruh murid untuk duduk dalam bentuk semi bulatan.

3. Guru menyuruh tujuh orang murid dan setiap orang mengambil satu kad daripada kotak ajaib tersebut.

Membantu Murid Mengingat Kembali Kemahiran Sedia Ada
1. Guru menyuruh salah seorang daripada murid tersebut ke hadapan untuk membuka kad tersebut dan menunjukkannya kepada rakan-rakan yang lain. 2. Guru meminta murid-murid untuk mengenalpasti huruf yang ditunjukkan. 3. Langkah 1 dan 2 diulangi bagi kesemua kad-kad tersebut. 4.Kemudian, guru meminta semua murid yang mengambil kad huruf vokal untuk beratur pada satu barisan dan meminta murid-murid untuk membunyikan huruf-huruf tersebut (Cth: “a” bunyinya “ah”, “u” bunyinya “wu” dan lain-lain).
Memperkenalkan Pelajaran Hari Ini Kepada Murid
Pada hari ini, anda akan belajar dua bunyi huruf yang baru iaitu bunyi k dan r. Kemudian, anda akan belajar juga gabungan bunyi huruf k dan r dengan huruf vokal iaitu a, e, i , o dan u.

Penyampaian Isi Pelajaran

Mempersembahkan Maklumat Baru Kepada Murid
1. Guru menyuruh salah seorang murid yang memegang huruf konsonan untuk berdiri di hadapan dan setiap murid yang memegang huruf vokal akan bergilir-gilir berdiri di sebelah pelajar yang memegang huruf konsonan tersebut. 2. Guru membunyikan suku kata terbuka yang dibentuk itu lalu diikuti oleh murid. 3. Seterusnya, guru akan mengeluarkan carta dan meminta murid tersebut untuk melekatkan kad yang mengandungi suku kata yang telah dibentuk pada carta tersebut. 4. Langkah 1 diulangi untuk huruf konsonan yang seterusnya. 5. Apabila semua suku kata telah habis dibentuk, guru akan meminta semua murid untuk membacakan suku kata tersebut bersama-sama.
Langkah Kedua
Guru meminta murid untuk menyalin suku kata yang baru dipelajari ke dalam buku latihan masing-masing.
Langkah Ketiga
1. Guru akan menunjukkan slaid Powerpoint yang mengandungi gambar kaki dan meminta murid untuk mengenalpastikan gambar tersebut. Guru meminta murid menunjukkan kaki-kaki mereka. 2. Guru meminta murid untuk sama-sama memilih suku kata yang diperlukan daripada carta suku kata untuk menghasilkan perkataan “kaki”. 3. Setelah murid memberikan jawapan, guru meminta salah seorang pelajar untuk menunjukkan suku kata “ka” pada skrin dan guru akan menekannya diikuti dengan suku kata “ki”. Sekiranya betul, perkataan “kaki” akan muncul di bawah gambar kaki pada slaid PowerPoint. 4.Langkah 1 diulangi dengan menggunakan gambar-gambar lain seperti kuku, kera, dan koko. Pada masa yang sama, langkah 2 diulangi dengan meminta murid daripada kumpulan cerdas untuk memilih suku kata, diikuti murid daripada kumpulan sederhana, dan akhirnya kumpulan lemah dengan bimbingan guru. Bagi membolehkan pembelajaran menjadi lebih aktif lagi, guru akan membimbing murid untuk menekan sendiri suku kata pada skrin tersebut dengan menggunakan tetikus. 5.Seterusnya, guru meminta murid untuk membaca perkataan-perkataan yang dipelajari dengan mengeja dan membunyikan suku kata tersebut bersertakan bantuan gambarajah.

Penilaian

Latihan dengan Bimbingan
Murid-murid akan dipilih secara rawak untuk ke depan dan cuba buat sendiri latihan di dalam slaid powerpoint yang telah disediakan oleh guru.
Latihan Kendiri
1. Guru memberikan lembaran kerja 1 dan 2 kepada murid daripada kumpulan cerdas, lembaran kerja 3 dan 4 kepada murid daripada kumpulan sederhana, dan lembaran kerja 5 kepada murid daripada kumpulan lemah. Lembaran tersebut diedarkan secara berperingkat-peringkat iaitu dari mudah ke susah.

Penutup Pengajaran

1. Guru meminta murid-murid untuk membaca balik suku kata yang terdapat pada carta suku kata. 2. Guru bertanya kepada murid-murid tenatng perkataan yang telah dipelajari pada hari ini. 3. Guru memberitahu murid-murid bahawa dengan mengetahui suku kata, mereka boleh membina pelbagai perkataan.

Aktiviti Lanjutan

Generalisasi/Aplikasi Kepada Kehidupan Seharian/Pelajaran Lanjutan
1. Guru meminta murid untuk mengulang balik suku kata yang telah dipelajari pada hari ini. 2. Guru meminta salah seorang murid daripada kumpulan cerdas untuk menghasilkan satu perkataan daripada suku kata yang telah dipelajari itu. 3. Seterusnya, guru meminta murid-murid untuk membentuk lebih banyak perkataan lagi secara sukarela sekiranya mereka mampu. 4. Guru meminta murid menghasilkan lebih banyak lagi perkataan daripada suku kata yang telah dipelajari pada hari ini sebagai kerja rumah. Perkataan-perkataan yang telah dihasilkan tersebut akan dimasukkan ke dalam buku kosa kata kelas setelah disemak oleh guru. 5. Bagi pelajar yang dapat menghasilkan paling banyak kosa kata akan memperolehi satu bintang. Apabila pelajar telah mengisi penuh bintang-bintang, mereka akan memperolehi hadiah pada akhir bulan tersebut.
Penilaian pentadbir:
0
Dibaca 18738 kali

Komen-komen

selamat sejahtera, setelah

selamat sejahtera, setelah membaca dan meneliti isi pengajaran pada RPH ini, saya dapati ianya sesuai dengan murid pk yang mahukan keseronokan dalam pembelajaran mereka. Ia sedikit sebanyak menyumbangkan idea bagaimana melaksanakan aktiviti pengajaran yang menarik.

terima kasih.:)